Sunday, December 16, 2018

TAJUK 14 : PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN

Bab ini pula membincangkan pengurusan alam pembelajaran di sekolah. Menurut Haji Samsudin bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses untuk mendapatkan penyertaan, kerjasama dari semua ahli dalam mencapai matlamat kumpulan. Sememangnya, guru memainkan peranan yang penting di dalam bilik darjah selain mengajar iaitu sebagai pengurus, iaitu mengurus rutin bilik darjah, mengurus pelajar supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif dan sebagainya.


Kecekapan guru dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengurus dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Noraisah Ibni Qasim, pengurusan alam pembelajaran penting bagi memenuhi masa yang diperuntukkan untuk mengajar, memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran tercapai serta tidak membosankan kerana dapat menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran tersebut.


Selain itu, pengurusan alam pembelajaran melibatkan persediaan ke alam persekolahan. Terdapat beberapa asas kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru bagi menguruskan pembelajaran bilik darjah. Antara asas kemahiran bagi menguruskan pembalajaran bilik darjah ialah pengetahuan guru tentang nama dan latar belakang pelajar, prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah dan perancangan yang rapi berkaitan dengan susun atur di bilik darjah.

Guru perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki kelas. Elemen penting yang perlu disediakan sebelum memasuki kelas ialah kebijaksanaan dan penilitian dalam perancangan, pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan refleksi. Guru juga perlu merancang kurikulum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan rujukan tambahan dan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman web. Guru perlu menyediakan bahan bantu mengajar dengan menitikberatkan aspek yang melibatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti dengan perancangan kemajuan pelajar, merangka rancangan kerja tahunan, termasuk ujian penilaian dan pentaksiran.


Di samping itu, suasana dalam bilik darjah mempunyai pengaruh kepada para pelajar dalam pembelajaran. Terdapat beberapa ciri iklim bilik darjah yang sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu dari segi fizikal, emosi dan sosial. Bagi ciri fizikal, guru perlu memastikan susun atur yang tidak begitu padat di dalam kelas dan memastikan kelas mempunyai pelbagai kemudahan kepada para pelajar. Dari segi emosi pula, guru perlu bersifat peramah, suka hati, menyayangi pelajar dan mengharapkan kejayaan pelajar mengikut tahap kemampuan pelajar. Dari segi sosial pula, ia melibatkan hubungan pelajar dengan rakan sebaya bagi membantu mereka dalam menyiapkan kerja rumah dan menjalankan tugasan kumpulan.

Aktiviti pembelajaran perlu dikendalikan dalam suasana yang kondusif. Antara cara mewujudkan suasana yang kondusif dalam kelas ialah dengan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak dan kemahiran tertentu dapat diterapkan dengan lebih mudah dan berkesan. Guru juga dapat memberikan motivasi yang berkesan kepada para pelajar dan menanam nilai murni dalam diri pelajar dengan lebih mudah dan berkesan.

Proses pembelajaran yang lebih menyeronokkan dapat membantu para pelajar memberi tumpuan dan memahami pelajaran dalam kelas. Teknik pembelajaran yang menyeronokkan perlu diaplikasikan di sekolah seperti dengan menggunakan alat bantuan mengajar, aktiviti berkumpulan dan memberikan peluang kepada pelajar memberi pendapat dan pandangan. Kaedah supaya pelajar lebih mudah ingat pula ialah dengan menggunakan kaedah akronim, menyuruh pelajar ke hadapan untuk menyelesaikan masalah di papan putih, menggunakan video dan menggunakan kaedah gallery walk.

Kesimpulannya, pengurusan alam pembelajaran ini sangat penting kepada para pelajar bagi memudahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran dan lebih memahami apa yang mereka pelajari. Selain itu, proses pemindahan maklumat juga dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan dan pelajar dapat lebih fokus kepada sesuatu topik sahaja. Guru perlu menguasai beberapa kemahiran dan teknik sebelum memasuki kelas bagi memastikan para pelajar dapat menerima ilmu pengetahuan dengan teknik yang mudah dan berkesan.

TAJUK 13 : SEKOLAH DAN PERSEKITARAN

Bab ini bertujuan untuk memastikan kita dapat memahami, berbincang dan mengenal pasti aspek-aspek berkaitan dengan hubungan organisasi sekolah atau pendidikan dengan masyarakat, isu pendidikan semasa dan dapat mengaitkannya dengan pendidikan globalisasi. Community Based Education (CBE) didefinisikan sebagai proses individu dewasa menjadi kompeten menangani keterampilan, sikap dan konsep dalam hidup di dalam dan mengawal aspek tempatan dari masyarakat melalui partisipasi secara demokratik (Michael W. Galbraith). Globalisasi adalah proses di mana kejadian, keputusan dan kegiatan di salah satu bahagian dunia menjadi suatu konsekuensi yang signifikan bagi individu dan masyarakat di tempat, daerah atau negara lain yang jauh. Pendidikan memerlukan tindakan secara holistik agar masyarakat memperoleh mutu pendidikan yang setara, bersifat futuristik dalam menghadapi masa depan yang penuh persaingan.


Pelaksanaan hubungan pendidikan bersama masyarakat ialah melalui pelaksanaan pendidikan formal iaitu sekolah yang memiliki program pendidikan untuk masyarakat, Non-formal iaitu ahli-ahli yang memiliki kegiatan untuk masyarakat di luar fungsinya dan In-formal iaitu kegiatan pendidikan yang ada dan berkembang di dalam masyarakat.

Antara tujuan hubungan pendidikan dengan masyarakat ialah menggalakkan inisiatif meningkatkan komitmen dan penglibatan masyarakat terhadap sekolah melalui pelaksanaan desentralisasi serta menggalakkan masyarakat membangunkan inovasi dan mengganti peranan sekolah meningkatkan mutu, kerelevanan, efesien kepada pihak sekolah.

Antara isu dan cabaran pendidikan semasa ialah integrasi nasional. Integrasi nasional melalui Dasar Pelajaran boleh dipupuk melalui penerapan nilai, keberkesanan mata pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan, konsep Sekolah Wawasan, pemantapan aktiviti kurikulum dan kokurikulum dan perkasakan bahasa Kebangsaan.


Isu dan cabaran pendidikan semasa kedua ialah pendemokrasian. Pendidikan tumpuan dalam pendemokrasian pendidikan ialah untuk membasmi buta huruf tanpa mengira latar belakang, tahap pendidikan yang disediakan bertaraf universal dan penyediaan infrastruktur terbaik kepada semua sekolah seluruh negara. Isu dan cabaran ketiga ialah perkembangan profesionalisme guru iaitu memimpin perubahan, utamakan daya pengeluaran, perkembangan semasa dan perkembangan teknologi.

Kesimpulannya, negara Malaysia perlu melibatkan semua pihak dalam proses meningkatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran sama ada di dalam atau luar bilik darjah. Dengan ini, negara kita dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang dan terbilang untuk mendukung aspirasi negara supaya dapat melahirkan insan yang mempunyai rohani dan intelek yang terbilang.

TAJUK 12 : PENGURUSAN PELBAGAI UPAYA

Pengurusan murid pelbagai upaya merupakan satu langkah yang diambil untuk membantu murid-murid yang mengalami masalah dalam pembelajaran. Secara amnya, pengurusan murid pelbagai upaya ini lebih terarah kepada program pendidikan khas yang dijalankan ke atas peajar-pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran sama ada secara fizikal atau mental. Pendidikan khas itu sendiri merujuk kepada program yang dibentuk untuk memenuhi keperluan pendidikan murid-murid yang berkeperluan khas. Pendidikan khas juga merujuk kepada satu pendekatan, rancangan pendidikan, strategi, kaedah dan teknik untuk mengajar murid-murid istimewa kerana mereka tidak berupaya untuk mencapai target yang sepatutnya daripada program sekolah aliran perdana.


Kajian mengenai pengurusan murid pelbagai upaya ini memfokuskan kepada empat topik perbincangan iaitu pemulihan, pengayaan, pelbagai kecerdasan dan berkeperluan khas. Program pemulihan dan pengayaan diwujudkan atas arahan Kementerian Pelajaran Malaysia bertujuan untuk memastikan murid-murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran mampu untuk belajar sekiranya guru-guru menggunakan kaedah pembelajaran yang sewajarnya. Manakala pelbagai teori  kecerdasan salah satunya yang diperkenalkan oleh seorang tokoh barat iaitu Howard Gardner. Teori ini membincangkan tentang pelbagai keupayaan yang dimiliki oleh murid yang mempunyai kecerdasan dan kepintaran luar biasa. Aspek keempat yang diberi tumpuan dalam kajian ini ialah bekeperluan khas. Melalui topik ini, pelbagai masalah pembelajaran dibincangkan seperti masalah disleksia, hiperaktif, sindrom down, autisme dan kerencatan mental. Selain itu, aspek murid pintar cerdas juga turut diberi penekanan dalam kajian ini.

Program Pemulihan juga merupakan langkah-langkah khusus yang dijalankan bertujuan untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran tertentu dalam kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Golongan pelbagai upaya ini perlu dipulihkan sebaik sahaja masalah yang dihadapi itu dapat dikesan oleh guru mata pelajaran atau guru bilik darjah dengan langkah-langkah yang sewajarnya. Pemulihan merupakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran alternatif yang diguakan untuk membantu murid yang menghadapi masalah di dalam kelas. Pelaksanaan program pemulihan ini bermatlamat untuk menghakis jurang perbezaan terutamanya pencapaian murid dalam sesuatu aktiviti.


Selanjutnya, pengayaan pula merupakan aktiviti-aktiviti tambahan kepada aktiviti asas pembelajaran yang dijalankan sama ada di dalam waktu sekolah atau di luar kawasan sekolah. Aktiviti pengayaan disediakan untuk semua murid di dalam kelas, sama ada di peringkat sekolah rendah atau menengah dan sama ada kumpulan cerdas atau sederhana cerdas. Dalam kajian terhadap pengurusan murid pebagai upaya ini, pengayaan merujuk kepada aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pelajar yang bermasalah pembelajaran untuk menambahkan pengetahuan dan memperluaskan pengalaman mereka. Melalui pengayaan ini guru perlu menyediakan bahan bantu belajar seperti kad-kad bacaan tambahan, lembaran kerja, permainan dan rekreasi, dan alat-alat teknologi yang lain.

Konklusinya, pelajar-pelajar yang mempunyai pelbagai upaya memerlukan pelajaran pada kelajuan yang sesuai. Pengurusan murid merupaka satu bidang yang penting disekolah. Maka dapat difahami bahawa pengurusan pelbagai upaya adalah merupakan sebuah usaha untuk membantu ramai individu lain yang mempunyai keupayaan yang berbeza untuk turut sama berjaya dalam akademik.

https://drive.google.com/open?id=1OL1CCIhSi5Xh2llZdTgSiw1NomM6VmWE

TOPIK 11 : PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA

Budaya sekolah merujuk kepada cara dan gaya guru dan staf bekerja dalam satu kumpulan. Budaya sekolah merupakan sebahagian budaya masyarakat kerana sekolah itu lahir daripada keperluan masyarakat. Di dalam budaya sekolah, terkandungnya corak idea, norma pemikiran dan nilai-nilai yang menyumbang kepada pembentukan kelakuan individu. Antara budaya yang terdapat dalam sekolah itu ialah budaya belajar, budaya berpakaian, budaya hormat menghormati, budaya membaca, budaya penyayang dan sebagainya.

Budaya ini selalu dipraktikkan dalam sekolah bandar dan luar Bandar. Budaya-budaya ini harus dilaksanakan dan diamalkan dalam diri pelajar supaya ia kekal dalam kehidupan mereka. Seterusnya budaya berpakaian juga penting dalam peringkat sekolah kerana ia akan membentuk peribadi mereka dan ia boeh membezakan pakaian pelajar sekolah dengan pakaian awam. Kesimpulannya, pengurusan pelbagai budaya amat penting dalam kehidupan pelajar dan boleh menegajar erti berdisiplin. Di dalam sesebuah organisasi manusia tidak bekerja seorang diri, apapun tugasnya dan peranannya seseorang itu tetap perlukan orang lain untuk membantunya atau terlibat sama. Oleh itu budaya yang baik itu harus perpaduan, bekerjasama, bantu-membantu, hormat menghormati dan nasihat-menasihati.

PENDIDIKAN PELBAGAI BUDAYA 
Kepelbagaian latar belakang individu dalam masyarakat mempengaruhi kepelbagaian latar belakang para pelajar dalam institusi pendidikan (Banks, 1989). Dalam konteks Malaysia, para pelajar di institusi pendidikan terdiri daripada pelajar yang memiliki pelbagai latar belakang berbeza seperti agama, etnik, bahasa, dan budaya. Hal ini menunjukkan kewajaran mengenai kepentingan pendidikan pelbagai budaya.

Pendidikan pelbagai budaya ialah proses atau strategi pendidikan yang melibatkan lebih daripada satu budaya, yang ditunjukkan melalui bahasa, etnik, atau ciri-ciri ras (Saha, 1997). Pendidikan pelbagai budaya boleh berlaku dalam pendidikan formal atau tidak formal. Tujuan pendidikan pelbagai budaya adalah untuk mewujudkan kesedaran, toleransi, pemahaman, dan pengetahuan yang mengambil kira perbezaan dan persamaan antara budaya dan kaitannya dengan pandangan dunia, konsep, nilai, keyakinan, dan sikap.

Pendidikan pelbagai budaya dapat dilihat dari tiga aspek: konsep, gerakan, dan proses (Banks 1989). Dari aspek konsep, pendidikan pelbagai budaya merupakan idea yang melihat semua pelajar mempunyai hak yang sama untuk belajar di dalam kelas tanpa membezakan mereka dari segi jantina, kelas sosial, etnik atau kriteria lain. Dari aspek gerakan, pendidikan pelbagai budaya didefinisikan sebagai usaha untuk mengubah institusi-institusi pendidikan sehingga pelajar daripada semua kaum, kelas sosial, jantina dan lain-lain memiliki peluang yang sama untuk belajar. Dari aspek proses, pendidikan pelbagai budaya dapat difahami sebagai proses untuk mencapai tujuan agar kesamaan pendidikan dapat dicapai oleh semua pelajar.

PRINSIP PENDIDIKAN PELBAGAI BUDAYA 
Pendidikan pelbagai budaya adalah pendidikan asas untuk menyediakan semua pelajar bagi memberi sumbangan secara maksimum dalam kehidupan dunia masa sekarang. Pendidikan pelbagai budaya harus termasuk dalam setiap kurikulum. Pendidikan pelbagai budaya meliputi tujuan-tujuan pembelajaran afektif dan kognitif. Populasi pelajar dengan latar belakang yang pelbagai akan mengarah kepada pembelajaran yang terbaik bagi setiap individu pelajar.

PENDEKATAN PERLAKSANAAN PENDIDIKAN PELBAGAI BUDAYA 
Guru menolong pelajar untuk meningkatkan pencapaian akademik dalam semua bidang termasuklah kemahiran asas dengan menggunakan bahan pengajaran yang sensitif dan sesuai dengan latar belakang pelajar. Guru memberi perhatian kepada suara hati pelajar. Komunikasi secara verbal dan bukan verbal antara guru dan pelajar hendaklah dianalisis untuk meningkatkan penyertaan pelajar semasa proses pembelajaran.

Pelajar perlu merasa selesa dan diterima apabila mereka membawa identiti budaya mereka ke dalam bilik darjah. Pengajaran pendidikan pelbagai budaya juga harus fleksibel kerana tidak ada satu pun kaedah pembelajaran sesuai untuk seluruh pelajar. Pengajaran pendidikan pelbagai budaya adalah berpusatkan pelajar, tidak sesuai apabila menggunakan kaedah kuliah. Pendidikan pelbagai budaya berasas kepada prinsip: penghargaan, empati dan kesamarataan cara belajar pelajar dan cara guru mengajar hendaklah difahami bagi membina dan mengembangkan kaedah pengajaran yang lebih berkesan. Pendidikan pelbagai budaya hendaklah dimasukkan ke dalam kurikulum secara formal.

Pendidikan pelbagai budaya mesti memberi kesan kepada kurikulum di setiap peringkat. Pendidikan pelbagai budaya hendaklah mengajar pelajar untuk berfikir secara kreatif dengan memberi kebebasan untuk bertanya. Memerlukan pemahaman terhadap budaya kaum lain. Pendidikan pelbagai budaya mesti menggunakan masyarakat sebagai sumber.

PENGURUSAN PELBAGAI BUDAYA DALAM BILIK DARJAH 
Menurut Banks (1989), menyatakan sensitif terhadap tingkah laku para pelajar dari pelbagai latar belakang. Sensitif terhadap kemungkinan wujudkan kontroversi tentang topik yang diajar. Menggunakan teknik pembelajaran secara berkumpulan (koperatif) untuk meningkatkan integrasi etnik dalam pembelajaran.

Menurut Najeemah (2017), menyatakan guru mesti tidak berat sebelah dan perlu berfikiran terbuka. Guru perlu jujur dan menghargai alternatif budaya seperti bahasa, kepercayaan nilai dan tingkah laku. Guru mestilah menggangap bahawa kepelbagaian budaya memberi manfaat kepada mereka. Dengan pengetahuan yang ada, guru dapat memahami pelajar daripada budaya yang berlainan.

Kesimpulannya, pengurusan pelbagai upaya ini sangat berkait rapat dengan prinsip pendidikan pelbagai upaya dan pengurusan pelbagai budaya dalam bilik darjah. Hal ini kerana, setiap murid mempunyai latar belakang yang berbeza dan mempunyai pelbagai budaya serta nilai yang mereka pegang. Oleh itu, kita perlu saling hormat-menghormati antara satu sama lain supaya kita dapat memahami budaya masing-masing. 

Saturday, December 15, 2018

TAJUK 10 : PENGURUSAN PENASIHATAN MURID

Topik ini berkaitan dengan pengurusan penasihatan murid. Bab ini menjelaskan tentang fungsi seorang guru bukan sahaja mengajar bahkan sebagai penasihat kepada para pelajarnya agar mereka yang mempunyai masalah dapat dibantu dengan sebaiknya. Sesi kaunseling terhadap pelajar amat perlu terutamanya bagi pelajar yang mempunyai masalah dalam pembelajaran mahupun kendiri.

Pengurusan penasihatan murid ini sangat penting untuk dilaksanakan agar masalah-masalah yang berlaku dapat diatasi hingga ke akar umbi. Namun begitu, pelbagai aspek haruslah ditekankan ketika memberikan sesi kaunseling dan bimbingan iaitu dengan mematuhi kod etika bimbingan dan kaunseling serta tidak melakukan perkara yang bercanggah daripada aspek bimbingan dan kaunseling. Sebagai seorang guru, sikap profesional dalam menangani isu dan masalah pelajar sangat diperlukan agar pelajar dapat memberikan kerjasama dalam menyelesaikan masalahnya.


Antara jenis perkhidmatan binbingan yang disediakan ialah perkhidmatan memberi maklumat (menyebarkan maklumat pelajaran, kerjaya dan lain-lain), perkhidmtan petempatan (membantu murid-murid memilih kegiatan bidang kokurikulum yang sejajar dengan kebolehan, minat dan kemampuannya), perkhidmatan mencegah penyalahgunaan dadah (memupuk rasa benci terhadap dadah), perkhidmatan perundingan dan rujukan (merancang bersama-sama guru tentang cara-cara yang paling berkesan untuk megawasi kemajuan murid-murid), perkhidmatan penyelarasan sumber (menjadi penyelaras untuk kebajikan majikan, agensi-agensi kebajikan dan orang-orang kenamaan tempatan dalam program bimbingan di sekolah), perkhidmatan dengan ibu bapa (bekerjasama dengan ibu bapa dalam mewujudkan disiplin di kalangan murid-murid) dan perkhidmatan penilaian (mengadakan program pembimbing rakan sebaya dan program latihan).


Tuntasnya, pengurusan penasihatan murid merupakan suatu bentuk tindakan untuk memberi bimbingan dan panduan kepada murid untuk membuat pilihan yang baik untuk kehidupan mereka dan ia juga merupakan suatu tugas yang memerlukan ibu bapa, pihak sekolah, guru dan murid untuk memberi kerjasama bagi sama-sama terlibat untuk membantu.

TAJUK 9 : PENGURUSAN TINGKAH LAKU

Pengurusan tingkah laku ini berkaitan dengan peraturan dan disiplin murid, pengurusan devian dan salah laku serta pekeliling dan peraturan. Guru hendaklah menangani masalah devian yang berlaku dalam kalangan pelajar secara profesional. Guru juga mestilah bijak dalam mencorak anak didiknya agar mereka tidak berasa tersisih dan melakukan salah laku. Pelajar memerlukan perhatian yang sama rata daripada guru dan hal ini haruslah dilaksanakan oleh guru tanpa ada unsur pilih kasih.

Guru perlu membimbing tingkah laku murid ke arah positif dan menghentikan tingkah laku negatif agar murid bebas daripada sebarang gangguan. Terdapat beberapa langkah asas bagi pengurusan tingkah laku iaitu dengan mengenal pasti jenis tingkah laku yang hendak dikaji terlebih dahulu dan kemudian tentukan sasaran. Seterusnya pilih strategi yang hendak digunakan serta mengkaji kesan dan akhir sekali mengaplikasi strategi baru jika perlu.


Melalui teknik modifikasi, guru perlu menggunakan satu sistem pengurusan tingkah laku bermasalah dengan membuat pemantaun dan penilaian dalam bilik darjah. Penyimpanan rekod salah laku murid-muridnya seperti’ bila ia berlaku dan bagaimana ia berlaku’ kerana proses merokod ini amat penting dalam teknik memodifikasikan tingkah laku. Antara teknik modifikasi lain ialah peneguhan. Di dalam peneguhan positif, kebarangkalian berulangnya tingkah laku yang diingini yang ditambah manakala melalui peneguhan negatif kebarangkalian berulang tingkah laku operan di tambah dengan memindah atau menghapuskan stimuli yang menggunakan.

Pengenaan denda pula adalah bertujuan untuk menghentikan sesuatu tingkah laku yang tidak diingini. Semua hukuman denda harus dimaklumkan kepada murid dan pihak sekolah menentukan bahawa sesuatu hukuman betul-betul dilaksanakan. Behavioris berpendapat bahawa tingkah laku yang baik itu diberi ganjaran dan juga pada masa yang sama diberi hukuman terhadap tingkah laku yang tidak diingini. Skinner pula berpandangan bahawa denda itu hanya boleh membawa kesan dalam tempoh yang singkat sahaja.

Reverse psychology pula menggunakan psikologi untuk modifikasikan tingkah laku negatif kepada positif. Kemahiran guru untuk memahami psikologi murid, mengenal pasti sikap, pandangan dan pemikiran dalamannya adalah amat diperlukan. Selain itu, shaping pula merupakan satu usaha memberikan ganjaran kepada murid setiap kali dia semakin hampir kepada tingkah laku yang baik. Ganjaran yang ditawarkan oleh guru menjadi semakin besar apabila murid bergerak kearah pencapaian tigkah laku yang ditetapkan.

Kesimpulannya, pengurusan tingkah laku ini adalah bermula daripada guru dengan menunjukkan tingkah laku yang baik terlebih dahulu. Setiap murid mempunyai sikap yang berbeza maka guru hendaklah belajar untuk memahami sikap murid dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas sesuatu tindakan itu.

TAJUK 8 : STRATEGI MENGURUS BILIK PEMBELAJARAN

Pengurusan bilik pembelajaran adalah amat penting dalam memastikan kelancaran proses pembelajaran dan pengajaran yang cekap dan berkesan. Bilik darjah merupakan tempat murid ditempatkan dan di situ juga merupakan tempat di mana proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dijalankan.

Berdasarkan topik ini didapati bahawa faktor yang mempengaruhi pengurusan bilik darjah ialah faktor fizikal penyusanan bilik darjah dapat menggalakkan atau menghalang sesuatu pembelajaran. Menurut Sharifah Alwiah Alsagof, persekitaran fizikal bilik darjah yang baik akan dapat meningkatkan kuasa serta sumber pengajaran guru. Strategik pengurusan bilik pembelajran meliputi aspek penyusunan tempat duduk pelajar, meja guru dan melakukan rutin bilik darjah. Dari segi bentuk penyusunan kerusi meja pelajar, kedudukan susunan kerusi dan meja pelajar yang sistematik akan memudahkan para pelajar untuk memberi perhatian terhadap apa yang sedang diajar oleh guru di dalam bilik darjah. Manakala, meja guru pula adalah berada di bahagian hadapan kelas dan guru harus berada di sekitar meja pelajar bagi pembantu dalam proses pembelajaran. Rutin bilik darjah adalah seperti membuat pemeriksaan tentang keadaan fizikal bilik darjah dan ianya perlukan dilakukan pada waktu yang telah ditetapkan.



Interaksi dalam bilik darjah adalah satu proses saling bertindak yang berlaku di antara sekurang-kurangnya dua pihak. Istilah dua pihak bermaksud sama ada ia merupakan orang perseorangan ataupun sekumpulan manusia jenis interaksi bercorak lisan seperti interaksi sehala atau tradisional, interaksi dua hala antara guru dan murid, interaksi dua hala antara murid dan murid, interaksi pelbagai hala antara guru dengan murid dan murid dengan murid dan interaksi komputer.

Kepimpinan dan kaedah mengajar guru sememangnya adalah amat mempengaruhi suasana bilik darjah. Suasana Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)  yang demokratik menggalakkan pelajar untuk bekerjasama. Guru boleh mempengaruhi pelajaran secara langsung seperti, sikap selalu marah, memberi arahan dan terlalu kritikal. Guru yang mempengaruhi pelajar secara tidak langsung adalah melalui menerima perasaan pelajar tanpa menakutkannya, memuji pelajar dan menggalakkan mereka menggunakan dan menerima idea pelajar lain.



Terdapat beberapa elemen-elemen komunkasi yang berkesan dalam Pengajaran dan Pembelajaran  (PdP). Guru hendaklah seorang yang bermaklumat dan mempunyai pengetahuan. Berkemahiran berucap dalam menyampaikan idea. Ini ditentukan oleh elemen-elemen seperti telah menguasai isi pelajaran; mampu menyediakan alat bantu mengajar yang menarik dan berkesan, kontak mata, bahasa badan, sentuhan, merumus isi pelajaran dalam bahasa yang mudah bersedia berbincang dengan murid. Komunikasi merupakan eleman yang sangat penting dalam menjadikan proses penyampaian maklumat lebih berkesan dan lancar.

Kesimpulannya, pengurusan bilik darjah haruslah dilakukan melalui kerjasaa diantara guru dan pelajar bagi memastikan suasana kelas sentiasa ceria dan selesa lantas dapat mengurangkan masalah disiplin.


TAJUK 7 : PENGURUSAN SUMBER

Pengurusan ditakrifkan sebagai satu seni bagi melaksanakan proses kerja yang terancang dan dilaksanakan secara sistematik, teratur dan mempunyai garis panduan tertentu. Pengurusan juga terdiri daripada pengarahan dan pengawalan sesebuah kumpulan yang terdiri daripada satu atau lebih entiti untuk tujuan menyelaras dan mengharmonikan kumpulan tersebut bagi mencapai sesuatu matlamat yang telah dirancangkan (Buck, 2010). Abdul Aziz Yusof (2004, 2007) menyatakan bahawa pengurusan merujuk kepada seorang atau sekumpulan orang yang menjalankan fungsi pengurusan. Antara fungsi pengurusan termasuklah proses merancang, mengorganisasi, memimpin dan mengawal daya usaha anggota organisasi serta menggunakan sumber-sumber yang lain dalam organisasi bagi mencapai matlamat organisasi yang telah ditetapkan.

Sumber pula merujuk kepada sesuatu bahan yang boleh digunakan serta dimanfaatkan oleh manusia dalam aktiviti ataupun kegiatan seharian. Sumber terdiri daripada pelbagai kategori iaitu sumber alam atau semulajadi, sumber manusia, kewangan dan teknologi. Kategori sumber ini digunakan manusia secara langsung untuk proses kelangsungan hidup dan mempunyai perkaitan dengan definisi pengurusan tadi. Oleh sebab itu, pengurusan sumber boleh ditakrifkan sebagai bagaimana manusia mengorganisasikan sumber yang ada melalui proses merancang, memimpin dan mengawal untuk mencapai sesuatu matlamat. Dari aspek pembelajaran berasaskan sumber pula, kemahiran mengurus sumber adalah sangat penting bagi menjelaskan sesuatu fakta, membuktikan kesahihan sesuatu fakta dan menyatakan kebenaran fakta berkenaan agar tidak menyimpang atau menyerong dengan etika dan norma-norma masyarakat. 

Terdapat beberapa jenis sumber atau alat bantu mengajar yang digunakan dalam membantu proses pembelajaran guru. Antara sumber yang digunakan ialah bahan bercetak, bahan teknologi maklumat dan juga bahan maujud. Walaupun jenis-jenis ini mempunyai ciri yang berbeza, namun ianya boleh digunakan bagi memastikan murid- murid memahami akan isi kandungan pelajaran serta mencapai objektifnya.

Sumber bahan bercetak didefinisikan sebagai bahan yang mempunyai tulisan dan wujud secara fizikal. Selain itu, bahan ini boleh disentuh dan dibaca secara terus dan ianya mestilah dihasilkan melalui cetakan bukan daripada tulisan tangan. Sumber bahan bercetak meliputi buku, majalah, jurnal, esiklopedia, surat khabar, buku teks dan sebagainya. Sumber pengajaran dan pembelajaran ini telah diguna pakai oleh guru sejak sekian lama kerana harganya yang murah, senang didapati, mudah diperolehi dan mudah alih. Selain itu juga, bahan bercetak ini merupakan bahan yang kekal dan boleh dibuat dirujuk pada bila-bila masa saja kerana ianya banyak disimpan di pusat sumber, perpustakaan dan arkib negara.



Seterusnya, bahan teknologi maklumat juga salah satu sumber yang digunakan oleh guru dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ramai murid yang menyukainya. Jika sumber ini digunakan secara berkesan, alat bantu mengajar ini dapat meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran. Guru mempunyai kemudahan yang luas dalam menggunakan bahan teknologi maklumat ini kerana terdapat perisian-perisian percuma yang disediakan oleh kerajaan di setiap sekolah di seluruh negara dan perisian tersebut bertepatan dengan sukatan pelajaran yang sedia ada bagi kemudahan guru dalam menyampaikan pengajarannya. Antara kelebihan bahan ini ialah murid-murid akan lebih mudah untuk memahami apa yang diajar oleh guru dan dapat mengekalkan minat pelajar untuk pelajaran seterusnya sekaligus dapat meningkatkan prestasi akademik mereka.

Bahan maujud juga sering digunakan sebagai sumber dalam pengajaran dan pembelajaran. Bahan maujud merupakan bahan konkrit atau bahan sebenar yang boleh disentuh dan dipegang. Selain daripada itu juga, bahan ini merupakan bahan yang nyata yang ada disekeliling kita sama ada dalam keadaan hidup atau sudah diawet. Contoh bahan ini ialah komputer, perkakas sains, alat tulis, bangunan dan sebagainya. Selain itu bahan ini terbahagi kepada tiga jenis iaitu realia asli (bahan yang hidup dan bukan hidup), realia awet (bahan yang telah diawet) dan spesimen (mewakili kumpulan hidupan tertentu seperti daun-daun). Jika guru menggunakan bahan-bahan ini, maka para pelajar akan lebih memahami situasi sebenar berdasarkan gambaran dan bahan yang digunakan dengan mentransformasikan situasi tersebut dalam dunia yang nyata melalui deria sentuhan, penglihatan, rasa dan sebagainya.

Kesimpulannya, pengurusan sumber ini menuntut kepakaran guru untuk mencari dan mengenal pasti sumber yang berkesan dalam pembelajaran seperti bahan bercetak, bahan teknologi maklumat, dan bahan maujud supaya keberkesanan dalam pembelajaran itu dapat dibuktikan.

TAJUK 6 : PENGURUSAN BILIK DARJAH

Di dalam tajuk ini banyak memberi penjelasan dan pendedahan tentang konsep pengurusan bilik darjah, ilmu menguruskan bilik darjah, jenis-jenis bilik darjah dan strategi pengurusan bilik darjah.

PENGURUSAN BILIK DARJAH

Menurut Haji Samsudin bin Md Noor (2008) mendefinisikan pengurusan bilik darjah sebagai prosedur dan keperluan yang dicipta untuk mengekalkan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang sihat.

Terdapat juga asas-asas pengurusan yang boleh diaplikasikan oleh seorang guru bagi menggalakkan pelajar bertingkah laku positif dan konsisten antaranya ialah ketegasan di bilik darjah bermaksud guru perlu bijak memperjelaskn ekspektasinya kepada pelajar. Hal ini kerana, murid sentiasa menilai dan mudah mengesan kelemahan dan kurang keyakinan guru dalam pengajaran bilik darjah.



JENIS-JENIS BILIK DARJAH
Antara jenis bilik darjah yang telah dikenal pasti ialah:

  • Bilik Darjah Tradisi

Bilik darjah tradisi di negara kita telah lama digunakan untuk mendidik kanak-kanak di bawah program ‘Kurikulum Lama Sekolah Rendah’ dan ‘Kurikulum Lama Sekolah Menengah’ diperkenalkan.

  • Bilik Darjah Terbuka

Murid-murid akan menentukan dan merancang aktiviti Pengajran dan Pembelajaran (PdP) mereka  sendiri. Pengajaran guru dikurangkan pada peringkat yang minimum.

  • Bilik Darjah Bercantum

Kelas Bercantum merupakan kelas yang mengandungi murid-murid yang terdiri lebih daripada Satu Tahun Persekolahan. Misalnya, sebuah Kelas Bercantum mungkin mengandungi murid-murid daripada Dua Tahun Persekolahan (Tahun 1 dan Tahun 2) atau Tiga Tahun Persekolahan iaitu (Tahun 1, 2, dan 3).

  • Bilik Darjah Prasekolah

Pendidikan Prasekolah merupakan asas pendidikan bagi kanak-kanak berumur 4-6 tahun sebelum mereka memulakan alam persekolahan secara formal di Sekolah Rendah. Pendidikan Prasekolah  juga penting untuk menyuburkan perkembangan kanak-kanak dari segi jasmani, emosi, rohani, intelektual, sosial (JERIS) melalui aktiviti Pembelajaran dan Permainan dengan menggunakan deria penglihatan, pendengaran, rasa, hidu dan sentuh mereka.

STRATEGI PENGURUSAN BILIK DARJAH

Antara strateginya adalah seperti perancangan murid, perancangan bilik darjah, wujudkan suasana kondusif, dan menyampaikan pengajaran dengan menggunakan teknologi terkini. Salah satu aktivitinya adalah senaman untuk menghilangkan mengantuk pelajar.

Kesimpulannya, strategi ini mungkin sesuai digunapakai kepada murid yang tingkah laku mereka sukar dikawal ataupun mereka yang kurang mendapat perhatian. Oleh itu, seorang guru harus peka tentang asas-asas pengurusan bilik darjah agar mereka ddapat mengetahui sejauh mana keberkesanan peranan guru dalam mengurus bilik darjah.


Friday, December 14, 2018

TAJUK 5 : PENGURUSAN MURID

Pengurusan ialah proses perancangan, penyusunan, pengarahan dan pengawalan usaha-usaha ahli organisasi dan menggunakan sumber organisasi secara berkesan bagi mencapai matlamat organisasi. Manakala murid adalah orang yang mempunyai potensi asas, yang perlu dikembangkan melalui pendidikan, baik secara fizikal mahupun mental, baik pendidikan itu di lingkungan keluarga, sekolah mahupun di lingkungan masyarakat. Pengurusan murid merupakan satu bidang yang penting di sekolah. Hal ini kerana pelaksanaannya di sesebuah sekolah tersebut akan mencerminkan prestasi sekolah. Kepimpinan sekolah seharusnya memainkan peranan yang lebih daripada hanya menjalankan fungsi pentadbiran dan penyelenggaraan.


Pengurusan murid terbahagi kepada tiga bahagian iaitu mengurus rekod murid, kesediaan murid belajar dan memotivasikan murid. Menguruskan rekod murid adalah termasuk dalam pemantapan sistem pengurusan murid di sekolah. Antara perkara yang perlu dilakukan oleh guru dalam menguruskan rekod murid ialah guru perlu menguruskan tugasan murid, melakukan pemantauan terhadap kerja murid, menguruskan hasil tugasan murid, prosedur untuk murid yang tidak hadir, kriteria-kriteria hasil tugasan, arahan untuk tugasan, komunikasi tugasan dan keperluan tugasan dan maklum balas dan prosedur pemantauan.

Kesediaan pelajar pula adalah keadaan diri sendiri yang ada pada seseorang yang bersedia dan kebolehan untuk memperolehi sesutu pengalaman pembelajaran yang baru. Jenis kesediaan belajar pula terbahagi kepada tiga iaitu kesediaan kognitif, kesediaan afektif dan kesediaan psikomotor. Kesedian kognitif ini adalah berkait rapat dengan mental untuk memahami dan juga berfikir dan perkembangan mental juga dikatakan bergantung kepada umur seseorang. Manakala kesediaan afektif pula ialah merujuk kepada sikap, keinginan dan ketekunan untuk menerima pelajaran yang disampaikan. Pelajar yang bersikap positif dan berminat terhadap pelajaran akan memainkan peranan yang aktif dan agesif. Kesediaan psikomotor pula merujuk kepada penguasaan kemahiran yang berpusat kepada tindakan fizikal iaitu fungsi anggota dan pengawalan penyelarasan penggerak di dalam seluruh tubuh badan. Kebolehan setiap murid adalah berbeza dan perancangan pelajaran perlu mengambil kira masalah perbezaan yang wujud dalam diri individu.

Pengurusan murid yang seterusnya adalah memotivasikan murid. Guru perlu mendorong pelajar untuk mencapai matlamat dan hasil pembelajaran yang ditetapkan oleh guru. Implikasi daripada ini dapat meningkatkan pencapaian pelajar. Guru hendaklah tidak mengabaikan pelajar yang lemah dan sentiasa memberi kata-kata perangsang. Guru hendaklah menggunakan ciri-ciri komunikasi yang positif apabila berhadapan dengan pelajar. Selain itu, suasana pembelajaran yang menyeronokkan juga adakalanya menjadi motivasi untuk murid.

Kesimpulannya, pengurusan murid adalah amat penting bagi bagi memastikan objektif pengajaran adalah tercapai. Guru bertanggungj wab untuk menguruskan murid dan tanggungjawab itu adalah sebahagian daripada usaha untuk membantu meningkatkan pencapaian murid.

TAJUK 4 : ORGANISASI DAN KEPIMPINAN

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kepimpinan bermaksud keupayaan memimpin iaitu melalui teladan. Gaya kepimpinan menurut Thoha (1995: 37) pula ditakrifkan sebagai perilaku atau cara yang dipilih & dipergunakan pemimpin dalam mempengaruhi fikiran, perasaan, sikap & perilaku orang bawahannya. Beliau juga mengertikan gaya kepimpinan sebagai perilaku pemimpin dalam mempengaruhi bawahannya iaitu kemampuan pemimpin untuk menyatakan sesuatu hal dengan gaya kepimpinan tertentu. Gaya kepimpinan terdiri daripada dua kriteria objektif iaitu berorientasikan kerja dan berorientasikan hubungan.


  • Autokratik 

         - Hubungan sehala
         - Arahan dari pengetua
         - Guru-guru menurut arahan tanpa soal
         - Rancangan pengetua perlu dilaksanakan


  • Demokratik 

         - Lebih liberal
         - Pengetua akan berbincang sebelum membuat keputusan
         - Keputusan: dasar persetujuan majoriti
         - Pandangan guru diambil perhatian oleh pihak pengurusan sekolah


  • Laissez-faire 

         - Bertentangan dengan autokratik
         - Memberi kebebasan, kurang unsur kawalan dan kurang memberi pandangan
         - Kurang mengambil bahagian dalam perlaksanaan aktiviti
         - Pengetua berperanan sebagai pemerhati senyap


  • Kontigensi

         - Bahawa tiada cara khusus yang sama dalam semua keadaan untuk
           memimpin dan mentadbir organisasi sekolah
         - Kepimpinan mengikut situasi.


Kemahiran kepimpinan guru pula adalah kebolehan mempengaruhi pelajar dan bertindak sebagai rakan setugas, mentor, pembimbing, pakar kurikulum dan sebagai pembentuk pendekatan yang baru menerajui kumpulan pembelajaran. Selain itu, mengambil bahagian dala tugas-tugas operasi sekolah. Kepimpinan yang penting bagi seorang guru adalah berkeupayaan melakukan perubahan dengan memberi sumbangan idea yang baik, dapat diterima pakai dan melakukan tindakan sesudah dilantik terhadap jawatan yang dipertanggungjawabkan.

Kepimpinan di peringkat sekolah dibarisi oleh pengetua, penolong kanan pentadbiran, penolong kanan HEM, penolong kanan ko-kurikulum, guru kanan bidang. Kompeten kepimpinan guru menurut Clark ialah memiliki ilmu pengetahuan yang luas, mendalam dan terkini. Selain itu, cekap menggunakan segala sumber yang ada secara optimum serta memiliki budaya jadi diri. Seorang pemimpin juga hendaklah mahir dalam berkomunikasi dengan berkesan, produktif, mengamalkan budaya beretika serta mempunyai wawasan organisasinya.

Kesimpulannya seorang pemimpin hendaklah mempunyai kriteria yang berwawasan bagi memimpin orang lain. Organisasi pula merupakan sebuat unit yang sangat membawa impak terhadap sesuatu matlamat. Kedua-dua elemen ini adalah saling berhubung antara satu sama lain.


TAJUK 3 : PENGURUSAN DAN PEMBELAJARAN PELAJAR

Pengurusan membawa maksud proses perancangan, penyusunan, pengarahan, dan pengawalan usaha ahli-ahli organisasi dan menggunakan semua sumber organisasi untuk mencapai matlamat organisasi. Pengurusan pengajaran dan pembelajaran pelajar merupakan sebuah elemen penting yang berperanan dalam meningkatkan prestasi pelajar serta berfungsi dalam penyampaian ilmu. Objektif dalam pengajaran dan pembelajaran juga adalah bergantung kepada sejauh manakah pengurusan dan pembelajaran ini dijalankan. Bagi seorang pendidik, penguasaan terhadap pengurusan bilik darjah adalah penting bagi membolehkan maklumat dapat disampaikan kepada pelajar. Hal ini demikian supaya meningkatkan pengawalan kelas yang berkesan.

Dalam hal ini, guru berperanan sebagai pengurus bilik darjah. Guru bertanggungjawab untuk merancang, mengelola, mengawal dan mengarah. Dalam aspek merancang ini, sebagai contoh guru berperanan untuk merancang objektif pelajaran, strategi dan kaedah pengajaran, merancang bahan-bahan pengajaran serta susunan fizikal bilik darjah. Dalam aspek mengelola pula, guru bertanggungjawab untuk mengurus rutin bilik darjah, aktiviti murid, aktiviti kumpulan dan kaedah fizikal dan kemudahan. Bagi aspek mengawal pula, guru perlu mengawal peraturan bilik darjah, untuk memastikan tiada masalah disiplin dan mengawal murid yang mempunyai masalah peribadi. Seterusnnya, aspek mengarah memerlukan guru untuk mengarahkan murid menjawab soalan-soalan yang diutarakan. Murid harus mematuhi disiplin di dalam bilik darjah dan mengarahkan murid untuk menguruskan tugas harian bilik darjah.


Sehubungan dengan itu, dalam aspek persediaan rancangan kerja. Guru perlu membuat perancangan terlebih dahulu sebelum mengajar iaitu Rancangan Pembelajaran Harian (RPH). Guru perlu merancang isi pelajaran, teknik mengajar, alat bahan bantu mengajar (ABBM) yang sesuai agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan lancar dan berkesan. Perancangan perlu mempunyai objektif, teknik dan kaedah. Hal ini bagi membolehkan guru tersebut lebih bersedia untuk mengajar.

Pengurusan sumber pengajaran dan pembelajaran juga adalah sangat penting. Sumber pengajaran terdiri daripada bahan-bahan yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penggunaaan alat bantu mengajar yang bersesuaian dapat melancarkan proses pengajaran. Antara sumber pengajaran dan pembelajaran ialah buku teks, buku rujukan dan alat bantu mengajar.

Kesimpulannya, pengurusan pengajaran dan pembelajaran pelajar adalah sangat penting dalam membawa kepada kemudahan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Tugasan sebagai sorang guru adalah dipenuhi dengan tanggungjawab, maka apabila suatu tugasan itu diuruskan dengan baik maka sudah pasti akan menghasilkan sesuatu yang baik.

https://drive.google.com/open?id=1Em4mfWisPE-BmNdU8Tttjd-bmAJ8tkqm

Thursday, December 13, 2018

TAJUK 2 : INTERAKSI DALAM PEMBELAJARAN

Interaksi membawa maksud satu jalinan berkomunikasi antara guru dan pelajar. Komunikasi pula bermaksud pengaliran maklumat dari sumber pengeluar maklumat ke sumber penerima maklumat. Jadi, guru dan pelajar akan sentiasa berinteraksi antara satu sama lain supaya saling melengkapi. Terdapat 3 jenis interaksi yang diterapkan oleh guru bagi mendedahkan para pelajarnya untuk mewujudkan interaksi antara guru dan para pelajar seperti interaksi sehala iaitu antara guru dengan pelajar sahaja, interaksi dua hala, dan interaksi pelbagai hala iaitu interaksi kumpulan serta interaksi antara kumpulan.

  • Interaksi Sehala 
- Pelajar dipaksa untuk menerima apa sahaja ilmu pengetahuan yang diberikan guru.
- Dapat meningkatkan kefahaman dan minat pelajar untuk belajar
- Dapat memastikan murid faham mengenai sesuatu pelajaran  



  • Interaksi Dua Hala 
- Menjadi dua hala bila guru bertanya pelajar menjawab, atau pelajar bertanya guru menjawab
- Tidak belaku interaksi antara rakan sebaya
- Interaksi pasif seperti ini membuatkan pelajar menjadi bosan dan rimas apabila perlu memasukkan terlalu banyak fakta ke dalam minda mereka



  • Interaksi Pelbagai Hala 
Bertujuan untuk menggalakan para pelajar aktif dalam Pengajaran & Pembelajaran (PdP)
- Kerja berkumpulan diwujudkan supaya pelajar dapat berinteraksi dengan sesama mereka dalam sesuatu perbincangan.


Dapat dirumuskan iaitu dengan membentuk para pelajar untuk berinteraksi dalam pembelajaran, interaksi dalam pembelajaran perlu melibatkan guru. Hal ini kerana guru sangat memainkan peranan penting untuk melibatkan komunikasi berkesan, berpandangan positif, praktikal dan munasabah. Dalam pembelajaran tradisional, proses pembelajaran kebiasaannya berlaku di dalam kelas dengan adanya kehadiran guru.

Tuesday, December 11, 2018

TAJUK 1 : SOSIOLOGI DAN PEMBELAJARAN

Menurut pendapat tokoh Barat, sosiologi pendidikan adalah satu bidang sains kemasyarakatan. Sosiologi pendidikan juga ialah sains sosial yang menggunakan ilmu sosiologi untuk mengkaji bidang pendidikan dalam sesebuah masyarakat .Dalam erti kata lain sosiologi pendidikan melihat kepada pendidikan dari perspektif sosiologi. Selain itu, sosiologi juga bertujuan untuk menyelidik, mengetahui dan memahami struktur asas masyarakat manusia, faktor-faktor yang menyatukan dan melemahkan kumpulan dan untuk mempelajari keadaan-keadaan yang mengubah kehidupan masyarakat. Oleh itu, terdapat 3 teori utama dalam sosiologi pendidikan ini:

Teori Fungsionalisme

  • Mengkaji perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan yang menyumbang kepada penerusan masyarakat.
  • Melalui teori ini, masyarakat dianggap seperti tubuh yang mempunyai tujuan dan keperluan tertentu.
Teori Konflik 
  • Berlakunya konflik dalam struktur teori ini mengkritik masyarakat kapitalisme 
  • Menganalisis konflik-konflik dalam masyarakat 


KONFLIK DALAM PEMBELAJARAN
Terdapat juga konflik dalam pembelajaran. Ianya sering berlaku dalam sekolah di antara ahli-ahlinya. Contohnya guru di arah melakukan kerja-kerja pentadbiran pada masa yang sama mereka perlu menjalankan tugas mengajar. Maka timbulah konflik antara tugas mendidik dan tugas sampingan yang di arah. Manakala bagi pelajar pula mereka ditekan oleh ibu bapa dan guru untuk mendapat keputusan yang cemerlang.

Teori Interaksionisme Simbolik 
  • Melihat bagaimana makna yang simbolik digunakan dalam interaksi manusia.
  • Mengkaji makna simbolik atau makna yang tersirat.
  • Seseorang menginterpretasikan dan bertindak mengikut kemahuan masing-masing dalam masyarakat.


Dapat dirumuskan bahawa hubungan yang baik dapat diwujudkan sekiranya pelajar memahami pengertian sosiologi dengan baik. Oleh itu, pendidik juga perlu memahami sosiologi dalam pendidikan melalui teori-teori yang dinyatakan tersebut. Hal ini dapat memberi kemudahan kepada para guru untuk memberi pendedahan kepada pelajarnya mengenai sosiologi dalam pembelajaran iaitu dengan cara guru mengadakan aktiviti yang dikenali sebagai ‘kenali rakan anda’.