Sunday, December 16, 2018

TAJUK 14 : PENGURUSAN ALAM PEMBELAJARAN

Bab ini pula membincangkan pengurusan alam pembelajaran di sekolah. Menurut Haji Samsudin bin Md Noor, pengurusan bermaksud satu proses untuk mendapatkan penyertaan, kerjasama dari semua ahli dalam mencapai matlamat kumpulan. Sememangnya, guru memainkan peranan yang penting di dalam bilik darjah selain mengajar iaitu sebagai pengurus, iaitu mengurus rutin bilik darjah, mengurus pelajar supaya menjalankan tugas mereka mengikut jadual bertugas, mengurus keadaan fizikal bilik darjah supaya menjadi lebih kondusif dan sebagainya.


Kecekapan guru dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pengurus dapat membantu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Menurut Noraisah Ibni Qasim, pengurusan alam pembelajaran penting bagi memenuhi masa yang diperuntukkan untuk mengajar, memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran tercapai serta tidak membosankan kerana dapat menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran tersebut.


Selain itu, pengurusan alam pembelajaran melibatkan persediaan ke alam persekolahan. Terdapat beberapa asas kemahiran yang perlu dikuasai oleh guru bagi menguruskan pembelajaran bilik darjah. Antara asas kemahiran bagi menguruskan pembalajaran bilik darjah ialah pengetahuan guru tentang nama dan latar belakang pelajar, prosedur menetapkan peraturan di bilik darjah dan perancangan yang rapi berkaitan dengan susun atur di bilik darjah.

Guru perlu bersiap sedia dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki kelas. Elemen penting yang perlu disediakan sebelum memasuki kelas ialah kebijaksanaan dan penilitian dalam perancangan, pelaksanaan, penyeliaan, penilaian dan refleksi. Guru juga perlu merancang kurikulum, sukatan, huraian sukatan, buku teks, bahan rujukan tambahan dan maklumat tambahan daripada pelbagai sumber termasuk laman web. Guru perlu menyediakan bahan bantu mengajar dengan menitikberatkan aspek yang melibatkan inovasi dan kreativiti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya kelas tidak menjadi beku dan kaku diikuti dengan perancangan kemajuan pelajar, merangka rancangan kerja tahunan, termasuk ujian penilaian dan pentaksiran.


Di samping itu, suasana dalam bilik darjah mempunyai pengaruh kepada para pelajar dalam pembelajaran. Terdapat beberapa ciri iklim bilik darjah yang sesuai untuk sesi pengajaran dan pembelajaran iaitu dari segi fizikal, emosi dan sosial. Bagi ciri fizikal, guru perlu memastikan susun atur yang tidak begitu padat di dalam kelas dan memastikan kelas mempunyai pelbagai kemudahan kepada para pelajar. Dari segi emosi pula, guru perlu bersifat peramah, suka hati, menyayangi pelajar dan mengharapkan kejayaan pelajar mengikut tahap kemampuan pelajar. Dari segi sosial pula, ia melibatkan hubungan pelajar dengan rakan sebaya bagi membantu mereka dalam menyiapkan kerja rumah dan menjalankan tugasan kumpulan.

Aktiviti pembelajaran perlu dikendalikan dalam suasana yang kondusif. Antara cara mewujudkan suasana yang kondusif dalam kelas ialah dengan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik, pembentukan akhlak dan kemahiran tertentu dapat diterapkan dengan lebih mudah dan berkesan. Guru juga dapat memberikan motivasi yang berkesan kepada para pelajar dan menanam nilai murni dalam diri pelajar dengan lebih mudah dan berkesan.

Proses pembelajaran yang lebih menyeronokkan dapat membantu para pelajar memberi tumpuan dan memahami pelajaran dalam kelas. Teknik pembelajaran yang menyeronokkan perlu diaplikasikan di sekolah seperti dengan menggunakan alat bantuan mengajar, aktiviti berkumpulan dan memberikan peluang kepada pelajar memberi pendapat dan pandangan. Kaedah supaya pelajar lebih mudah ingat pula ialah dengan menggunakan kaedah akronim, menyuruh pelajar ke hadapan untuk menyelesaikan masalah di papan putih, menggunakan video dan menggunakan kaedah gallery walk.

Kesimpulannya, pengurusan alam pembelajaran ini sangat penting kepada para pelajar bagi memudahkan pelajar untuk mengulangkaji pelajaran dan lebih memahami apa yang mereka pelajari. Selain itu, proses pemindahan maklumat juga dapat berjalan dengan lancar tanpa gangguan dan pelajar dapat lebih fokus kepada sesuatu topik sahaja. Guru perlu menguasai beberapa kemahiran dan teknik sebelum memasuki kelas bagi memastikan para pelajar dapat menerima ilmu pengetahuan dengan teknik yang mudah dan berkesan.

1 comment:

  1. Casino Games | Drmcd
    Experience the 대구광역 출장샵 best games and experiences online with Drmcd. For the fun of it's own gambling hall 김천 출장샵 of fame, 강릉 출장샵 the Hard 포항 출장마사지 Rock 광주 출장샵 Hotel & Casino in

    ReplyDelete